Isnin, 17 Mei 2010

Selamat Hari Ibu...

Salam...

Minggu lepas adalah hari ibu--semua orang meraikan hari ibu, tapi bukan Nura! Nura bagai tak ada perasaan--sebab mak Nura sudah tiada di sisi. Bagi Nura, hidup Nura tak lengkap tanpa mak. Bila Nura sakit, mak Nura yang terasa sakitnya. Bila Nura disakiti, mak Nura yang akan menangis. Bila Nura dianiaya, mak Nura yang mempertahankan Nura. Tapi kini... semuanya berubah.
Hakikatnya, Nura rasa sangat kehilangan. Kalau hilang harta, masih boleh dicari. Kehilangan mak--tiada pengganti. Mak adalah seorang wanita yang paling sempurna yang pernah Nura kenali. Tiada sesiapa pun yang dapat menandingi kebaikan mak. Nura nak jadi seperti mak. Seorang isteri yang baik, ibu yang penyayang, wanita yang suka bersedekah, seseorang yang peka pada kekurangan orang lain--malangnya Nura tak mampu menjadi sebaik itu. Untungnya, wanita hebat itu adalah mak Nura...
Bagi sesiapa yang masih hidup bersama ibu, jagalah mereka sebaik mungkin. Syurga di bawah tapak kaki ibu--semua orang tahu pepatah itu, tapi bukan semua yang mengambil ikhtibar daripadanya. Bila ibu melarang, dikatanya ibu mengongkong. Bila ibu marah, dikatanya ibu tak sayang. Tapi, satu hari nanti, bila tiada 'ibu' untuk melarang atau memarahi kita, hidup kita terpesong, pada siapalah kita hendak mengadu nanti. Percayalah, tidak ada ibu yang mahu menghancurkan kehidupan anaknya (sebenarnya ada juga--gadis yang tiada hati dan perasaan lantas membuang anak yang dikandungnya supaya dapat menutup malu dan semata-mata untuk kepuasan nafsu dunia!--wanita seperti itu tidak layak bergelar ibu!)
Bayangkan, kita mengenali ibu ketika dari dalam perut lagi. Kemudian, kita dilahirkan--ibu menyusukan, membesarkan kita, mendidik supaya menjadi insan yang berguna--tetapi bila kita dah berjaya menjadi insan yang berguna, kita lupakan jasa ibu. Anak jenis apakah kita?
Ada juga kes dimana Nura melihat anak yang tidak menghiraukan ibu--kerana sikap ibunya sendiri. Dari kecil, tak pernah sekali pun ibunya menjaga, apatah lagi menukar lampin, memberi makan. Jadi, bila dia sudah berjaya, siapa yang dia cari? Bukan ibunya, sebaliknya siapa yang buat dia berjaya. Mungkin orang gaji, pengasuh atau... ayah! Jangan nak menyesal kemudian hari... Tapi--walau bagaimana pun sikapnya--itu tetap ibu kita dunia akhirat.
Cuma... Nura teringat juga waktu dulu-dulu. Bila difikir-fikir kembali, Nura sedar bahawa kebaikan yang kita lakukan akan mendapat ganjarannya. Lima tahun lalu, ketika mak sedang sakit tenat, Nura dapat menjaga mak sebaik yang Nura mampu. Seperti mana mak menjaga Nura ketika kecil--Nura memberikan makan kepada mak, memberi susu, membersihkan-menukar lampin, memandikan, segalanya Nura lakukan untuk mak. Nura bukan nak membangga diri--tapi alangkah bertuahnya Nura apabila Allah SWT memberi peluang terakhir kepada Nura untuk membalas jasa mak. Hakikatnya, Nura langsung tak dapat membalas jasa, tapi Nura lakukan hanya yang terbaik untuk mak. Tak banyak yang Nura minta--Nura cuma harap mak dan ayah masuk syurga dan berada di tempat yang baik di sisi Allah SWT. Amin...
Mak Nura nak sangat Nura jadi penulis satu hari nanti... Nura tak tahu pula kenapa. Tapi, memandangkan Nura suka bercerita--jadi wujudlah blog yang tak seberapa hasilnya ni... ha! ha! Harap-harap impian mak Nura akan jadi kenyataan satu hari nanti...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan