Khamis, 24 Jun 2010

Hormat Tuan RuMah

Salam...

Hari ni saja nak bercerita tentang tetamu yang datang ke rumah. Sebagai anak yatim piatu, bagaimanalah kami adik-beradik(yang masih muda dan mentah) nak melayan tetamu yang lebih tua dengan sempurna? Kami masih cetek pengalaman, jadi janganlah memperkecilkan kami diatas layan yang kurang sempurna itu. Kami masih belajar!
Hakikatnya, rumah kami agak besar, dan sering menjadi rumah tumpangan bagi sesiapa yang perlukan tempat bersinggah. Nura tak kisah. Tapi, kadang-kadang Nura terasa juga bila layanan kami tidak diendahkan. Bayangkan, susah-payah kami menyediakan sarapan pagi, langsung tidak dijamahnya, malahan mencari alasan untuk sarapan di luar. Ya, kami tak mampu sangat nak beli-membeli ni, lebih-lebih lagi dalam kuantiti yang banyak. Nura boleh masak, Nura buat sendiri. Tapi, setakat sandwich telur dengan sandwich sardin tu, mereka pandang sebelah mata aja. Ada juga sekali tu, ada saudara Nura yang datang, dan dia ternampak yang kami menggunakan barangan biasa(bukan barangan berjenama), maka dia kata, "Maaflah, kami tak pernah guna susu pekat lain, melainkan jenama F*N. Jenama lain tak sedap, rasa hanyir.", dan masing-masing cuma minum air kosong, takpun minum susu dalam kotak yang mereka bawa sendiri. Habis tu, satu teko besar air teh susu yang abang Nura bancuh tu, siapa nak minum? Rasanyalah, mereka ni tak pernah hidup susah kot? Asyik nak pakai barang berjenama aja. Itulah orang kata, tak sedar dek untung!
Bagi yang menumpang tidur tu, kita dah sedaya-upaya sediakan tempat terbaik. Eh! Dibuatnya macam rumah sendiri. Bilik Nura habis diselongkar anak-anaknya, ada juga barang-barang yang rosak. Tahu tak betapa susahnya Nura terpaksa tumpang tidur dekat bilik abang-adik Nura? Macam pengemis! Pula tu, siap tidur berpeluk-pelukan pada waktu siang tanpa tutup pintu menyebabkan semua orang yang lalu-lalang depan bilik nampak kelibat mereka berdua. Malu betul!
Ada juga yang cuba-cuba nak mengajar kami. Kami tahu kami yatim piatu. Kami tahu banyak benda yang kami tak tahu. Tapi, janganlah hina kami dengan berleter dan merendah-rendahkan keolehan kami. Kononnya kami tak tahu buat kerja rumah. Itu kotor, ini kotor. Buat itu salah, buat ini salah. Tolonglah! Nura tak sesempurna mak. Okey?
Tapi, dalam waktu yang sama, Nura tahu mereka cemburukan Nura. Pernah ada 'seseorang' itu berkata dengan Nura dalam nada yang sedih, "Pandai Nura masak, anak Mak **** langsung tak mahu buat kerja rumah, apatah lagi nak tolong masak." Gembira bukan kepalang__Nura bukan nak memadankan muka Mak **** itu, Nura simpati dengan dia. Tapi, Nura nak semua orang tahu betapa sempurnanya mak dengan ayah mengajar kami. Mungkin juga, kerana Nura kehilangan mak dalam usia yang muda, maka sedikit-sebanyak Nura dapat belajar membuat semua kerja rumah, yang lebih membanggakan, Nura memang dah boleh memasak. Itu yang makcik-makcik Nura bengang aja. Yalah, anak-anak mereka tak macam Nura kot?
Cuma, mak ayah Nura ada mengajar, kalau kita menumpang rumah orang, buat cara menumpang. Walaupun orang kata, 'buatlah macam rumah sendiri', tapi hakikatnya mereka tak bermaksud begitu. Mereka cuma nak buat kita rasa selesa, itu aja! Dan janganlah kita mengecilkan hati orang dengan komen-komen negatif yang boleh menyakitkan telinga. Kadang-kadang, orang dah cuba nak layan sebaik mungkin, cuma kita aja yang mengharap lebih. Jangan sampai kita tak dialu-alukan ke rumah mereka lagi, sudah! Susah tu. Lain kali kalau kita ke rumah orang, orang pula tunjukkan muka masam, biar padan muka kita! Ha! Ha!

Rabu, 19 Mei 2010

Gangster Jalan Raya

Salam...

Ada orang kata, warga Johor memandu dengan ganas dan tidak mematuhi peraturan jalan raya. Betul juga... Tapi dari mata Nura, ada lagi tempat yang lebih ekstrim lagi berbanding Johor. Terutamanya KL, kalau tak ekstrim, tak bergeraklah nampaknya. Bukan semua orang nak beri jalan!
Johor Bahru--terkenal dengan pemandunya yang tak mahu guna lampu signal, tukar lorong ikut suka hati, dan memaksa-maksa pemandu di hadapan untuk memandu laju. Sudah banyak kali perkara itu berlaku depan mata Nura. Rasanya bukan di Johor saja, di mana-mana pun keadaannya sebegitu rupa. Selalunya bila abang Nura dipaksa memandu laju--kami pasti akan membuat andaian kononnya orang itu nak cepat, sebab dah tak tahan nak ke tandas--mungkin betul apa? Tapi, kalaulah kiranya kami terlanggar apa-apa di depan kami, memang pasti 'pemandu' itu akan cabut lari dan buat muka seposen aja. Kadang-kadang kita yang tak memandu ni yang naik darah.
Bagi yang tak pandai nak guna signal--itu pun sama menyakitkan hati. Tiba-tiba aja dia belok--dia ingat jalan di siapa yang punya? Tak kurang juga yang main tukar-tukar lorong. Kalau hanya dia seorang saja yang wujud atas jalan raya, tak apalah juga. Punyalah ramai makhluk bernyawa, hanya kerana pentingkan diri sendiri, sanggup dipertaruhkan keselamatan orang lain. Nak cepat sangat buat apa kalau nyawa di hujung tanduk?
Bila dekat lebuh raya, selalunya kita akan terserempak dengan pemandu yang memandu laju bagai nak gila. Bila dia lalu di sebelah, rasa macam angin puting beliung pun ada. Yang hairannya, empunya kereta itu adalah seorang lelaki tua bersongkok aji serta isterinya yang bertudung litup. MasyaAllah! Kalau anak-anak muda, fahamlah juga. Orang muda memang sengaja nak menduga kelajuan--tapi ini golongan tua. Mungkin mereka rasa mereka dah cukup bagus dan cukup pengalaman dalam bab memandu ni. Apa nak jadilah... (Jangan terasa hati wahai golongan tua--maksud Nura--BUKAN SEMUA)
Membuang sampah ketika di lebuh raya juga adalah perangai orang kita. Kereta bukan main mewah--Vios, Chevrolet, Honda, tapi buang tin Pringles ke luar tingkap (yang berkereta Nasional pun ada buat macam tu--harap maklum) Yang seronoknya, dia baling tin air yang masih berisi dan terkena pula pada kereta kita yang dibuka tingkapnya. Mandi Nescafe lah nampaknya. Sebab itulah bila kita tengok cerita luar negara, kita akan fikir--kenapa negara mereka bersih? Siapa yang jadi pemungut sampah? Hakikatnya, pemikiran mereka telah dididik supaya membuang sampah ke tempat yang betul, bukan main campak sana-sini. Tengok sajalah orang putih yang pergi ke Mc Donalds, siap sampah dibuang, dulang diletak ke tempatnya semula. Kalau Nura, tak adalah nak buat macam tu... (lari dari tajuklah pula!)
Nak kata orang, kita ni bukannya betul sangat--he! he! Kita pun dah hidup dengan prinsip--orang pun tak bagi jalan pada kita, buat apa kita nak bagi jalan pada orang? Ataupun, ingat kereta dia hebat sangat, kereta aku pun ada turbo-lah (nak menunjuklah tu). Itulah sebabnya...
Sebenarnya, Nura pun takut nak belajar memandu--nak melintas dekat tempat yang sesak pun Nura takut, apatah lagi nak berdepan dengan pemandu ganas dekat jalan raya kita. Agaknya kena tunggu pemandu Malaysia jadi pemandu yang bersopan-santun, barulah Nura pertimbangkan... (hakikatnya Nura memang penakut!)

Selasa, 18 Mei 2010

Shopaholic

Salam...

Shopaholic atau gila membeli-belah selalunya dikaitkan dengan kaum wanita. Jarang pula nampak lelaki-lelaki membeli-belah dengan membawa beg plastik banyak-banyak--melainkan dia nak kahwin (barang hantaranlah tu)
Macam inilah--Nura mengaku, Nura suka berjalan-jalan hujung minggu. Bukan apa, saja nak lepaskan tekanan. Tapi, satu kelebihan Nura iaitu Nura boleh mempertimbangkan--nak beli ke tidak? Dan selalunya, Nura takkan beli! Bila berjalan dengan abang dengan adik Nura, kami pasti akan mencabar sesama-sendiri--siapa yang beli barang, dia kalah! Hampir setiap kali pun, Nura yang menang. Sebab, Nura cuma suka jalan-jalan, Nura tak suka beli. Tapi bila tiba masanya untuk membeli-belah (selalunya untuk keperluan raya atau Mega Sale hujung tahun)--abang dan adik Nura tak sanggup berjalan sama-sama. Sebab, Nura biasanya pergi beli-belah dengan akak Nura--dan walaupun pada bulan puasa, kami berdua larat berjalan dan membeli-belah lebih daripada 4 jam. Percaya tak? Alah, Nura bukan beli apa--saja temankan akak.
Tapi, shopaholic yang Nura cakapkan di sini adalah mengenai sesiapa saja yang tak boleh menahan diri daripada membeli barang--walaupun satu barang yang murah. Kata orang, kalau ada sejuta ringgit Malaysia dalam tangan pun boleh dihabiskan dalam masa satu hari. Peliklah! Nanti bila tak guna, disimpannya dalam almari berkurun lamanya hingga tunggu masa nak buang (Nura pun ada juga buat macam itu) Bila dikira-kira balik, sayangnya duit. Kalau kumpul duit dari dulu, dah boleh beli rumah teres lot tepi agaknya (hm... taklah macam tu sekali-hehe) Tapi bagi anak-anak dara yang dah terlebih beg tangan tu, baik kamu fikirkan cara macam mana nak jual balik--perniagaan internet sangat laku dewasa ini--hehehe!
Lagi satu tips, kalau nak jimat duit, lebih baik pergi ke tempat yang tak menarik. Nak beli pun tak ada semangat. Yalah, bukan citarasa kita-buat apa nak beli. Tak pun, pergi membeli-belah masa poket tengah kering (eksklusif bagi BUKAN pemegang kad kredit) Kalau dah tak ada duit masa tu, telan air liur sajalah. Ini Nura cakap berdasarkan pengalaman tahu--sangat berkesan!
Bagi yang masih obses dengan kad kredit-fikirlah baik-baik. Kejap lagi hutang tak terbayar, gaji yang dapat pun tak boleh nak tampung. Kalau macam itulah, kawan-kawan semua lari--tak ingin kawan dengan kita. Yang sudah ada keluarga pula, takkanlah nak minta duit susu anak daripada orang lain-malulah. Tapi, gara-gara isteri yang suka sangat bergaya, suami terpaksa pula menebalkan muka meminjam duit daripada orang lain. Perhatian--Kasihankan suami anda!
Nura rasa, kita tak perlulah ikut-ikut orang. Kalau orang tu bergaya--yalah, dia banyak duit, suka hati dialah. Kita yang hidup sederhana ni, bersyukurlah dengan apa yang ada. Kadang-kadang Allah SWT tak beri kita harta kekayaan kerana ada sebabnya. Faham-faham sendirilah ya!

Isnin, 17 Mei 2010

Selamat Hari Guru

Salam...

Selamat hari guru untuk semua guru-guru satu Malaysia--terutamanya guru-guru yang mengajar di Sekolah Menengah Sultan Ismail Johor Bahru. Teringat pula zaman sekolah dulu-dulu.
Bagi Nura, betapa untungnya seorang insan bergelar guru kerana sampai bila-bila mereka akan diingati. Cara mereka mengajar, cara mereka berbicara--itulah yang menjadi kenangan pada setiap pelajar (walaupun ia satu kenangan yang menyakitkan) Dari sudut agama pula, bukankah setiap daripada kamu yang mengajar sesuatu ilmu itu kepada orang lain, kemudian orang itu pula mengajarkan ilmu itu kepada orang yang lainnya, maka tidak putuslah pahala yang akan kamu dapati selagi ilmu kamu itu tidak henti diajarkan oleh sesiapa kepada sesiapa saja (memang sesuatu yang sukar difahami).
Seorang guru yang baik adalah guru yang memberikan ilmu kepada pelajarnya dengan ikhlas--bukan hanya kerana kerja semata-mata. Tapi, Nura faham sangatlah sekiranya ada sesetengah guru yang tiba-tiba marah dan mengamuk. Ini kerana wujudnya pelajar yang bersikap biadap terhadap mereka. Guru juga seorang manusia yang ada tahap kesabaran. Bekerja dengan kanak-kanak atau remaja belasan tahun sebenarnya amat sukar. Bagaimana nak mendidik mereka, mengajar mereka apa yang betul, apa yang salah. Tapi, biasalah, bukan semua pelajar nak dengar kata. Nura nak ingatkan, kalau boleh janganlah berdendam hingga 'berani' menggunakan sihir dan ilmu hitam pada cikgu--berdosa besar--Allah SWT laknat kamu nanti (Nura cakap sebab Nura tahu perkara itu pernah berlaku!)
Cuma, kita sebagai pelajar, kalau tak mahu belajar sekalipun, janganlah sampai mencabar kewibawaan cikgu--seperti mendabik dada kononnya tak berguru pun boleh berjaya. Tengoklah betapa ramai pelajar yang dulunya melawan cakap cikgu, akhirnya tak ke mana. Ada juga yang mempersendakan guru-guru sehingga mereka merajuk, marah dan 'tidak menghalalkan' ilmu yang diberi. Pernah perkara itu berlaku di depan mata Nura sendiri, dan Nura akui, mereka juga manusia biasa yang tak lari daripada melakukan kesilapan. Tapi hakikatnya--kita yang menyebabkan kesilapan itu berlaku!
Nura juga tahu, ada guru-guru yang disayangi dan disenangi dikalangan pelajar-pelajar sekolah. Mungkin kerana dia baik, tak banyak mulut, tak banyak soal, tapi sebenarnya bukan kerana guru itu--ianya kerana diri kita sendiri. kalau kita baik, takkanlah cikgu nak marah, ya tak?
Satu perkara yang Nura nak sentuh, mengapa guru yang dipersalahkan andai anak-anak mereka menjadi insan tak berguna? Kenapa? Memang semua ibu bapa akan berkata, 'kami hantar dia ke sekolah supaya CIKGU mengajar dia--kalau tidak, buat apa kami hantar dia ke sekolah'. Sebenarnya, mendidik anak-anak adalah tanggungjawab bersama--bukan hanya terletak di bahu cikgu. Ibubapa pun janganlah lepas tangan bab pelajaran ni. Nanti, bila anak-anak sudah berjaya nanti, ibubapa juga yang untung (itu pun kalau anak-anak ingat pada kita, harap-harap macam itulah!).
Pekerjaan sebagai guru ini adalah pekerjaan yang mulia. Kalau diberi peluang sekali lagi, tentu Nura akan memilih bidang ini sebagai kerjaya. Tapi, tak ada rezeki, nak buat macam mana. Tak ada tokoh pun... tak apalah. Yang penting, Nura masih ingat lagi guru-guru Nura di sekolah SSI dulu...
Hari itu Nura ada juga jumpa cikgu-cikgu lama masa alumni SSI 50 tahun dulu--tapi rasanya mereka tak ingat Nura kot? Biasalah--tak glemer! ha! Ha!

Selamat Hari Ibu...

Salam...

Minggu lepas adalah hari ibu--semua orang meraikan hari ibu, tapi bukan Nura! Nura bagai tak ada perasaan--sebab mak Nura sudah tiada di sisi. Bagi Nura, hidup Nura tak lengkap tanpa mak. Bila Nura sakit, mak Nura yang terasa sakitnya. Bila Nura disakiti, mak Nura yang akan menangis. Bila Nura dianiaya, mak Nura yang mempertahankan Nura. Tapi kini... semuanya berubah.
Hakikatnya, Nura rasa sangat kehilangan. Kalau hilang harta, masih boleh dicari. Kehilangan mak--tiada pengganti. Mak adalah seorang wanita yang paling sempurna yang pernah Nura kenali. Tiada sesiapa pun yang dapat menandingi kebaikan mak. Nura nak jadi seperti mak. Seorang isteri yang baik, ibu yang penyayang, wanita yang suka bersedekah, seseorang yang peka pada kekurangan orang lain--malangnya Nura tak mampu menjadi sebaik itu. Untungnya, wanita hebat itu adalah mak Nura...
Bagi sesiapa yang masih hidup bersama ibu, jagalah mereka sebaik mungkin. Syurga di bawah tapak kaki ibu--semua orang tahu pepatah itu, tapi bukan semua yang mengambil ikhtibar daripadanya. Bila ibu melarang, dikatanya ibu mengongkong. Bila ibu marah, dikatanya ibu tak sayang. Tapi, satu hari nanti, bila tiada 'ibu' untuk melarang atau memarahi kita, hidup kita terpesong, pada siapalah kita hendak mengadu nanti. Percayalah, tidak ada ibu yang mahu menghancurkan kehidupan anaknya (sebenarnya ada juga--gadis yang tiada hati dan perasaan lantas membuang anak yang dikandungnya supaya dapat menutup malu dan semata-mata untuk kepuasan nafsu dunia!--wanita seperti itu tidak layak bergelar ibu!)
Bayangkan, kita mengenali ibu ketika dari dalam perut lagi. Kemudian, kita dilahirkan--ibu menyusukan, membesarkan kita, mendidik supaya menjadi insan yang berguna--tetapi bila kita dah berjaya menjadi insan yang berguna, kita lupakan jasa ibu. Anak jenis apakah kita?
Ada juga kes dimana Nura melihat anak yang tidak menghiraukan ibu--kerana sikap ibunya sendiri. Dari kecil, tak pernah sekali pun ibunya menjaga, apatah lagi menukar lampin, memberi makan. Jadi, bila dia sudah berjaya, siapa yang dia cari? Bukan ibunya, sebaliknya siapa yang buat dia berjaya. Mungkin orang gaji, pengasuh atau... ayah! Jangan nak menyesal kemudian hari... Tapi--walau bagaimana pun sikapnya--itu tetap ibu kita dunia akhirat.
Cuma... Nura teringat juga waktu dulu-dulu. Bila difikir-fikir kembali, Nura sedar bahawa kebaikan yang kita lakukan akan mendapat ganjarannya. Lima tahun lalu, ketika mak sedang sakit tenat, Nura dapat menjaga mak sebaik yang Nura mampu. Seperti mana mak menjaga Nura ketika kecil--Nura memberikan makan kepada mak, memberi susu, membersihkan-menukar lampin, memandikan, segalanya Nura lakukan untuk mak. Nura bukan nak membangga diri--tapi alangkah bertuahnya Nura apabila Allah SWT memberi peluang terakhir kepada Nura untuk membalas jasa mak. Hakikatnya, Nura langsung tak dapat membalas jasa, tapi Nura lakukan hanya yang terbaik untuk mak. Tak banyak yang Nura minta--Nura cuma harap mak dan ayah masuk syurga dan berada di tempat yang baik di sisi Allah SWT. Amin...
Mak Nura nak sangat Nura jadi penulis satu hari nanti... Nura tak tahu pula kenapa. Tapi, memandangkan Nura suka bercerita--jadi wujudlah blog yang tak seberapa hasilnya ni... ha! ha! Harap-harap impian mak Nura akan jadi kenyataan satu hari nanti...

Rabu, 12 Mei 2010

Orang Yang Bermasalah

Salam...

Kita semua ada masalah--sesiapa yang tak ada masalah, sebenarnya itulah masalah dia. Kalau hidup tanpa masalah, tak seronok juga. Balik-balik hidup macam itu-tiada turun naiknya pun. Tapi, janganlah sampai terlalu banyak masalah sampai tak tertanggung.
Nura sendiri ada banyak masalah dalam hidup. Sejak kecil, sampai remaja--daripada mak ayah Nura masih hidup, hinggalah sudah meninggal dunia. Hidup kami tak pernah lekang dari masalah. Cuma, Nura agak marah dan geram dengan sesetengah 'insan' yang... entahlah... Nak kata dia baik sangat... hahaha! Semua orang pun tahu dia paling banyak buat hal. Tak kisahlah, kita memang tak ada hak nak mengata orang. Takut-takut nanti kita pula yang terjebak.
Nura memang tak suka dengan golongan sebegini yang suka bermuka-muka. Bila dia ada masalah, dia cari kita untuk tolong dia selesaikan masalah. Bila kita dah tolong--walaupun tak seberapa, dia tuduh kita nak mengutuk atau menjatuhkan dia pula. Tak fahamlah. Rasanya, orang sebegini baik tak payah ditolong. Bukan nak sombong, tapi sikap egois macam tu, memang asyik dia saja yang betul--asyik dia saja nak menang. Boleh dikatakan, orang yang hidup dengan sikap macam ini--layak tinggal dalam dunia ini seorang diri, tak payah nak libatkan orang lain. Kalau sudah semua orang di sekeliling yang salah, di mana sebenarnya kebenaran tu. Semua orang yang silap--atau diri sendiri yang silap. Baik fikir baik-baik sebelum semua orang menjauhkan diri daripada kita. Ingat tahu, hidup ini macam roda--ia sentiasa berputar dan kita bukannya kekal di atas. Suatu hari nanti, bila Allah SWT nak duga kita, kita jatuh terjelepuk--siapa yang nak tolong kalau semua orang sudah kamu sakiti... Fikirlah, ya!
Dan selalunya golongan ini dikatakan tidak matang. Seseorang yang ada akal fikiran yang matang, akan mengakui kesilapan diri dan cuba sedaya-upaya untuk memperbetulkan keadaan. Itulah yang seharusnya kita lakukan. Bukannya menuduh orang lain tak tentu fasal. Kata orang, dalam keadaan marah, naik angin atau 'panas', ada baiknya kita tutup mulut. Rehatkan otak dulu, bagi hati sejuk, barulah berkata-kata. Sebab, ketika sedang mengamuk itulah kita hilang akal dan menjadi kurang waras dan seterusnya memburukkan lagi keadaan dengan apa-apa saja perkataan yang keluar dari mulut kita (Setan memang suka orang yang kuat mengamuk ni!). Terlajak perahu boleh diundur--terlajak kata, orang semua pun benci tengok muka kita! Ha! Ha! Pelik juga pepatah Nura ni...
Tapi bagi Nura--Nura akan menjauhkan diri daripada insan-insan sebegini. Buang masa saja. Tak dibantu nanti dikata--dah dibantu nanti dibangkit pula. Baik jangan dicampur urusan orang macam itu. Kelak hidup kita yang merana... Baik kita buat hal kita--dan biarkan dia dengan dunia dia. Satu hari dia akan tahu bahawa pentingnya membuat keputusan yang betul sebelum bertindak...

Selasa, 4 Mei 2010

Jiran Setaman~

Salam...

Zaman dulu, jiran ibarat keluarga sendiri. Malahan saudara-mara pun tak serapat mana. Ya! Zaman dulu, masyarakat kita hidup aman damai, bersatu-padu, apatah lagi bila ada kenduri, rewang di majlis perkahwinan, tapi sayangnya perkara itu semakin ditelan zaman.
Nak kata rumah zaman dulu berdekatan antara satu sama lain, tidak juga. Rumah sekarang ni, hanya satu dinding saja yang memisahkan antara dua buah keluarga, tapi jangan kata bermesra, menegur pun belum tentu. Lebih menyakitkan lagi, ada antara kita yang bergaduh sesama jiran. Mana tidaknya, Nura pernah diberitahu bahawa ada antara jiran-jiran mereka yang sengaja membuang sampah di depan rumah mereka. Apabila menyapu daun-daun kering, nampak saja rumah sebelah tiada orang, terus saja menyapu terus ke arah rumah orang itu. Peliknya, depan rumah orang tu tak ada pula pokok pelam, macam mana daun kering pokok pelam di rumah sebelah boleh elok bertimbun selonggok depan pintu pagarnya--pelik juga! Apa punya manusialah!
Ada juga kes, jiran berdekatan ada membela anjing--setiap pagi apabila dia membawa anjingnya bersiar-siar, tempat itu juga yang disuruh 'melepas'. Kami ni orang islam. Anjing itu haram, apatah lagi najisnya. Kalau setompok-dua, boleh tahan lagi. Ini hampir setiap hari. Sakit hati pula bila tengok laman rumahnya bagai Taman Syurga, siap dengan air terjun, macam Taman Bunga, tapi laman rumah kita penuh dengan najis. Lalat berterbangan sana-sini, bau yang menyengat hingga kami terpaksa berkurung dalam rumah. Nura harap, lepas ini tolonglah hormat orang lain. Tak perlu sanjung tinggi jiran-jiran anda tu, cukuplah sekadar hormat dan tak ganggu kehidupan orang lain.
Cakap mengenai hormat, selain itu kita juga harus bertolak-ansur dengan jiran. Janganlah dibuka radio dengan bunyi yang sangat kuat hingga mengganggu jiran yang nak tidur waktu malam. Lagi pula kalau mereka ada anak kecil. Habis disumpah-seranahnya kita anak-beranak. Dalam dunia ni bukan kita saja yang ada telinga, okey? Ha-ha...
Akan tetapi, ada juga antara kita yang begitu rapat dengan jiran. Sangat rapat hingga cerita luar dalam semuanya diberitahu. Dan tanpa kita sedari, mungkin cerita kita itu sibuk diheboh-hebohkan kepada jiran-jiran lain. Bukan tak boleh berbaik dengan jiran, tapi tak perlulah tersangat rapat dan terlalu percaya pada mereka. Tak perlu juga biarkan jiran berturun-tangga dalam rumah anda, hingga dia buat macam rumahnya sendiri. Mula-mula--rumah awak, rumah saya juga, kemudian--anak awak, anak saya juga. Lepas itu--suami awak, suami saya juga!
Walau macam mana pun, janganlah dibuat tak endah saja jiran-jiran kita. Sebab, mereka adalah masyarakat yang begitu dekat dengan kita. Kalau kita susah, perlukan pertolongan--biasanya jiran-jiranlah yang banyak membantu. Kalau hidup tak berjiran, takut pula. Nanti jadi apa-apa pada kita, tak siapa pun yang boleh diminta membantu. Tapi, kalau kita ada buat hal dengan jiran, bila kejadian buruk berlaku pada kita--percayalah, tak siapa pun yang datang menolong. Kata mereka, aku-aku punya hal, kau-kau punya hal!