Rabu, 19 Mei 2010

Gangster Jalan Raya

Salam...

Ada orang kata, warga Johor memandu dengan ganas dan tidak mematuhi peraturan jalan raya. Betul juga... Tapi dari mata Nura, ada lagi tempat yang lebih ekstrim lagi berbanding Johor. Terutamanya KL, kalau tak ekstrim, tak bergeraklah nampaknya. Bukan semua orang nak beri jalan!
Johor Bahru--terkenal dengan pemandunya yang tak mahu guna lampu signal, tukar lorong ikut suka hati, dan memaksa-maksa pemandu di hadapan untuk memandu laju. Sudah banyak kali perkara itu berlaku depan mata Nura. Rasanya bukan di Johor saja, di mana-mana pun keadaannya sebegitu rupa. Selalunya bila abang Nura dipaksa memandu laju--kami pasti akan membuat andaian kononnya orang itu nak cepat, sebab dah tak tahan nak ke tandas--mungkin betul apa? Tapi, kalaulah kiranya kami terlanggar apa-apa di depan kami, memang pasti 'pemandu' itu akan cabut lari dan buat muka seposen aja. Kadang-kadang kita yang tak memandu ni yang naik darah.
Bagi yang tak pandai nak guna signal--itu pun sama menyakitkan hati. Tiba-tiba aja dia belok--dia ingat jalan di siapa yang punya? Tak kurang juga yang main tukar-tukar lorong. Kalau hanya dia seorang saja yang wujud atas jalan raya, tak apalah juga. Punyalah ramai makhluk bernyawa, hanya kerana pentingkan diri sendiri, sanggup dipertaruhkan keselamatan orang lain. Nak cepat sangat buat apa kalau nyawa di hujung tanduk?
Bila dekat lebuh raya, selalunya kita akan terserempak dengan pemandu yang memandu laju bagai nak gila. Bila dia lalu di sebelah, rasa macam angin puting beliung pun ada. Yang hairannya, empunya kereta itu adalah seorang lelaki tua bersongkok aji serta isterinya yang bertudung litup. MasyaAllah! Kalau anak-anak muda, fahamlah juga. Orang muda memang sengaja nak menduga kelajuan--tapi ini golongan tua. Mungkin mereka rasa mereka dah cukup bagus dan cukup pengalaman dalam bab memandu ni. Apa nak jadilah... (Jangan terasa hati wahai golongan tua--maksud Nura--BUKAN SEMUA)
Membuang sampah ketika di lebuh raya juga adalah perangai orang kita. Kereta bukan main mewah--Vios, Chevrolet, Honda, tapi buang tin Pringles ke luar tingkap (yang berkereta Nasional pun ada buat macam tu--harap maklum) Yang seronoknya, dia baling tin air yang masih berisi dan terkena pula pada kereta kita yang dibuka tingkapnya. Mandi Nescafe lah nampaknya. Sebab itulah bila kita tengok cerita luar negara, kita akan fikir--kenapa negara mereka bersih? Siapa yang jadi pemungut sampah? Hakikatnya, pemikiran mereka telah dididik supaya membuang sampah ke tempat yang betul, bukan main campak sana-sini. Tengok sajalah orang putih yang pergi ke Mc Donalds, siap sampah dibuang, dulang diletak ke tempatnya semula. Kalau Nura, tak adalah nak buat macam tu... (lari dari tajuklah pula!)
Nak kata orang, kita ni bukannya betul sangat--he! he! Kita pun dah hidup dengan prinsip--orang pun tak bagi jalan pada kita, buat apa kita nak bagi jalan pada orang? Ataupun, ingat kereta dia hebat sangat, kereta aku pun ada turbo-lah (nak menunjuklah tu). Itulah sebabnya...
Sebenarnya, Nura pun takut nak belajar memandu--nak melintas dekat tempat yang sesak pun Nura takut, apatah lagi nak berdepan dengan pemandu ganas dekat jalan raya kita. Agaknya kena tunggu pemandu Malaysia jadi pemandu yang bersopan-santun, barulah Nura pertimbangkan... (hakikatnya Nura memang penakut!)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan