Selasa, 4 Mei 2010

Jiran Setaman~

Salam...

Zaman dulu, jiran ibarat keluarga sendiri. Malahan saudara-mara pun tak serapat mana. Ya! Zaman dulu, masyarakat kita hidup aman damai, bersatu-padu, apatah lagi bila ada kenduri, rewang di majlis perkahwinan, tapi sayangnya perkara itu semakin ditelan zaman.
Nak kata rumah zaman dulu berdekatan antara satu sama lain, tidak juga. Rumah sekarang ni, hanya satu dinding saja yang memisahkan antara dua buah keluarga, tapi jangan kata bermesra, menegur pun belum tentu. Lebih menyakitkan lagi, ada antara kita yang bergaduh sesama jiran. Mana tidaknya, Nura pernah diberitahu bahawa ada antara jiran-jiran mereka yang sengaja membuang sampah di depan rumah mereka. Apabila menyapu daun-daun kering, nampak saja rumah sebelah tiada orang, terus saja menyapu terus ke arah rumah orang itu. Peliknya, depan rumah orang tu tak ada pula pokok pelam, macam mana daun kering pokok pelam di rumah sebelah boleh elok bertimbun selonggok depan pintu pagarnya--pelik juga! Apa punya manusialah!
Ada juga kes, jiran berdekatan ada membela anjing--setiap pagi apabila dia membawa anjingnya bersiar-siar, tempat itu juga yang disuruh 'melepas'. Kami ni orang islam. Anjing itu haram, apatah lagi najisnya. Kalau setompok-dua, boleh tahan lagi. Ini hampir setiap hari. Sakit hati pula bila tengok laman rumahnya bagai Taman Syurga, siap dengan air terjun, macam Taman Bunga, tapi laman rumah kita penuh dengan najis. Lalat berterbangan sana-sini, bau yang menyengat hingga kami terpaksa berkurung dalam rumah. Nura harap, lepas ini tolonglah hormat orang lain. Tak perlu sanjung tinggi jiran-jiran anda tu, cukuplah sekadar hormat dan tak ganggu kehidupan orang lain.
Cakap mengenai hormat, selain itu kita juga harus bertolak-ansur dengan jiran. Janganlah dibuka radio dengan bunyi yang sangat kuat hingga mengganggu jiran yang nak tidur waktu malam. Lagi pula kalau mereka ada anak kecil. Habis disumpah-seranahnya kita anak-beranak. Dalam dunia ni bukan kita saja yang ada telinga, okey? Ha-ha...
Akan tetapi, ada juga antara kita yang begitu rapat dengan jiran. Sangat rapat hingga cerita luar dalam semuanya diberitahu. Dan tanpa kita sedari, mungkin cerita kita itu sibuk diheboh-hebohkan kepada jiran-jiran lain. Bukan tak boleh berbaik dengan jiran, tapi tak perlulah tersangat rapat dan terlalu percaya pada mereka. Tak perlu juga biarkan jiran berturun-tangga dalam rumah anda, hingga dia buat macam rumahnya sendiri. Mula-mula--rumah awak, rumah saya juga, kemudian--anak awak, anak saya juga. Lepas itu--suami awak, suami saya juga!
Walau macam mana pun, janganlah dibuat tak endah saja jiran-jiran kita. Sebab, mereka adalah masyarakat yang begitu dekat dengan kita. Kalau kita susah, perlukan pertolongan--biasanya jiran-jiranlah yang banyak membantu. Kalau hidup tak berjiran, takut pula. Nanti jadi apa-apa pada kita, tak siapa pun yang boleh diminta membantu. Tapi, kalau kita ada buat hal dengan jiran, bila kejadian buruk berlaku pada kita--percayalah, tak siapa pun yang datang menolong. Kata mereka, aku-aku punya hal, kau-kau punya hal!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan