Rabu, 21 April 2010

Kenduri-KenDara

Salam...

Kalau diikutkan, sudah berapa lama Nura tak pergi kenduri rumah saudara-mara. Kenapa? Sebab.... Nura tak ada kawanlah. Mana ada budak-budak muda, paling baik pun boleh berkawan dengan makcik-makcik. Tapi, makcik-makcik Nura bukannya sebarang makcik--mereka ada kuasa tanya. Satu soalan timbul, sah buat Nura pening kepala nak jawab!
Dalam islam, kita memang digalakkan menghadiri jemputan orang, terutamanya kenduri. Yalah, itu kan majlis agama. Masalahnya, kenduri mesti dibuat pada malam hari. Kalau tak lepas Maghrib, mesti lepas Isyak-yalah, mana ada orang buat lepas Subuh. Dah kenapa??! Nura pula tak boleh keluar rumah waktu malam sebab.... Sebenarnya--tak digalakkan! Jadi, saudara-mara dah tahu sangat perangai Nura...
Apa yang Nura tahu, kebanyakan orang suka pergi kenduri sebab nak makan percuma. Iya ke wahai manusia? Nura pernah dengar orang kata, alah baca Yasin sikit-sikit saja, tapi baik punya soru. Maksudnya--makanan sedaplah tu. Tak baiklah. Ada juga yang pergi sebab nak jumpa sepupu-sepapat, kemudian membincangkan gosip keluarga dan sanak-saudara. Keburukan sendiri sanggup disimpan, tak nak cerita. Tapi hal rumahtangga orang habis dijajanya sana-sini. Itu lagi satu keburukan 'tukang kepoh' yang wujud di majlis kenduri orang.
Ini Nura ada cerita sikit, kalau kita anak-anak dara ni pergi kenduri--memang tak lepas dari soalan-soalan cepu emas yang membunuh! Bila nampak muka kita saja~bila nak kahwin? Nak muka kita saja~kenapa pakai kereta buruk? Nampak lagi~kenapa belum ada anak? Huh! Macam-macamlah! Kalau belum kahwin, ditanya bila. Kalau dah kahwin, ditanya kenapa tak ada zuriat. Helo, ada ke pasangan yang nak menolak anugerah Allah SWT? Mereka boleh jawab ke kenapa Allah belum nak bagi anak? Sebab itulah ada pasangan yang memang malas nak hadiri kenduri fasal tak mahu bertembung dengan orang bermulut sebegitu. Tak boleh salahkan mereka. Tak kecil hati ke kalau ditanya begitu?
Ada juga yang membanding-bandingkan kemewahan masing-masing. 'Aku mampu pakai kereta MyVi walaupun aku kerani cabuk, kenapa kau pakai kancil saja?'. Habis, kalau kita berhutang keliling pinggang ada dia nak tanggung? Jangan haraplah!
Sepatutnya, kenduri adalah satu majlis yang mulia--menggalakkan orang berkumpul dan berkongsi ilmu agama, menggalakkan anak-anak kita belajar bacaan-bacaan penting supaya nanti adalah pewaris yang akan meneruskan adat-adat kita. Jadi, janganlah musnahkan kebaikan tu.
Nampaknya, sekarang ni orang dah tak suka buat kenduri lagi. Bila ada apa-apa hal, cuma tempah makanan kemudian hantar masjid. Okey juga tu. Cuma, yalah... semakin luputlah acara rewang, gotong-royong, tolong-menolong... Keluarga Nura pun buat macam tu juga... Ya, alasan kukuh. Kalau buat kenduri tak ada siapa nak rewang. Balik-balik pun kami adik-beradik juga yang berhempas-pulas... Yang penting, sedekah Yasin untuk arwah Mak dan arwah ayah... Al-Fatihah...

Selasa, 20 April 2010

Diari

Salam...

Nura suka betul bila bercerita fasal diari. Sebab apa, Nura memang tak peduli atau tak ingin langsung nak ada diari. Tak payah tulis apa-apa pun tak apa. Pernah dulu, diari Nura diselongkar, habis semua rahsia peribadi orang tahu. Yang si pengintip tu pun tak agak-agak. Tahu tak, kalau sekali kita buat macam tu, lain kali orang takkan percayakan kita lagi. Tengoklah!
Apa fungsi diari? Atas sebab apa ia jadi keperluan orang? Ya, mungkin kita nak merakamkan apa yang terjadi pada hari ini, atau hari-hari seterusnya. Memang seronok bila menulis sesuatu yang menarik. Tapi, bila tiba masanya untuk kita menulis pengalaman buruk atau yang menyedihkan--bab itu yang Nura tak suka. Nanti bila dibaca kembali, teringat-ingat pula kisah lama, sedih--mesti menangis punya. Kalau pengalaman ngeri--takut, dan kemudian kisah hitam kembali jadi igauan ngeri. Bagi Nura, ada baiknya pengalaman lalu hilang begitu saja.
Ada satu cara kalau nak selamatkan diari--iaitu pakai kata kunci. Sama ada huruf-huruf ditukar, diterbalikkan perkataan, ataupun guna simbol yang orang lain tak tahu kecuali diri kita sendiri. Cantik juga. Sekurang-kurangnya kalau orang berniat jahat nak curi tahu rahsia kita--dia takkan faham apa yang kita tulis tu! Tapi, janganlah sampai esok lusa kita sendiri pun dah tak faham tulisan sendiri... Susah!
Bagi insan yang suka mencuri-curi baca diari orang--tak baik tahu. Cuba kalau perihal peribadi kamu sendiri jadi tatapan orang, siap jadi bahan ketawa lagi, apa perasaan kamu? Bak kata orang, nak cari kepercayaan orang makan bertahun-tahun lamanya. Tapi, nak hilang kepercayaan itu--cuma ambil masa tak sampai sesaat pun.
Percaya tak, diari boleh membawa kenangan indah datang kembali. Diari juga boleh membawa kesedihan lalu menjelma lagi. Tapi, diari juga boleh menyebabkan kita hilang kawan, putus saudara, terbongkar segala rahsia, dan lebih banyak perkara buruk dari yang sebaliknya...
Nura tak pakai diari, tapi hari tu Nura terpadam nota penting yang Nura catat pada telefon bimbit Nura. Geram betul!!!

Isnin, 19 April 2010

Wangi

Salam...

Hari ni lupa pula nak pakai minyak wangi... Tak apalah. Dekat pejabat ada sebotol lagi. Pelikkan, kenapa seorang perempuan harus ada lebih daripada sebotol minyak wangi? Helo, lelaki pun ada macam tu tahu? Alah, sebab minyak wangi murah, beli 4-5 botol pun masih mampu. Nura sendiri ada lebih daripada 5 botol. Tapi bukannya Nura beli sendiri--akak Nura yang bagi. Memang dah tabiat dia, pergi mana-mana mesti belikan Nura minyak wangi.
Kadang-kala Nura hairan dengan gadis-gadis yang suka sangat guna minyak wangi dengan banyak. Tak sesak ke hidung dia? Kita yang berdiri dekat sebelah ni macam nak lemas pun ada. Nak ditegur nanti dikata cemburu pula. Biasalah perempuan ni pantang ditegur! Tapi satu aja pesan Nura, sebenarnya, cuma kita aja yang suka dengan bau-bau tu, cuma kita saja yang perasan bau kita wangi, tapi sebenarnya orang lain macam nak pengsan dok menahan hidung bila berdekatan dengan kita. Nura tahulah--sebab adik Nura selalu merungut setiap kali kita orang nak pergi kerja!
Bagi lelaki yang sukakan minyak wangi pula, memang tak salah nak pakai sikit-sikit. Cuma, kalau boleh pakailah minyak wangi lelaki. Kalau dipercikkan minyak wangi perempuan--perempuan boleh kenal tahu. Lagilah kalau lelaki pakai minyak wangi berbau bunga--pecah rahsia! Sama ada dia Mat Bunga-Bunga--atau dia pinjam kakak dia punya!
Lagi satu Nura nak ingatkan, kalau pergi sekolah tu tak payahlah melaram dengan minyak wangi lebih-lebih. Kamu nak pergi belajar ke atau nak mengurat cikgu? Masa sekolah dulu, ada juga kawan-kawan Nura yang kena tegur dengan cikgu sebab bau wangi sangat. Ada juga yang kena amaran sebab pakai lip balm (pelembap bibir) yang ada warna di sekolah. Biasalah, masing-masing nak tunjuk siapa lagi hebat. Nura tak ada kes pula dengan benda-benda macam tu, cuma bila hari sukan atau pendidikan jasmani, Nura selalu bawa sikat, bedak, cermin dan yang sewaktu dengannya. Tak pernah pula kantoi! Ha! Ha!
Tapi, bagi mereka yang punya bau badan yang agak menyengat, ada baiknya kamu keluar duit sikit beli minyak wangi atau bedak wangi yang ada penmbasmi bakteria. Yalah, Nura faham. Zaman-zaman sekolah ni banyak aktiviti luar. Sikit-sikit nak berpeluh. Tapi jangan pula bila dah berpeluh, badan dah berbau masam baru nak disapu minyak wangi--percayalah, bau kamu akan jadi lebih teruk lagi!
Ada satu petua Nura nak bagi--mak Nura kata kalau kita tak nak badan berbau, kita makan kulit limau sambal. Alah, kalau selalu makan mee dengan limau tu, tutup mata, kunyah sajalah kulit limau tu. Memang pahit, tapi badan kita memang takkan berbau.

Khamis, 15 April 2010

Ketawa Atau Senyum?

Salam...

Semua orang suka ketawa. Berapa pun umur kita, apa pun kerja kita, walau seberapa miskin pun kita--kita tetap ketawa. Melainkan, kita ada masalah ke, tak pun kita sedang kesedihan ke, takkan nak ketawa? Tapi, ada seorang yang Nura kenali, ahli keluarga dia dah meninggal--siap belum kebumi lagi, tapi dia ketawa terbahak-bahak. Pelik Nura!
Apa yang Nura nak cakap ialah, kita mesti ketawa kena pada tempatnya. Bak kata pepatah, Nabi Muhammad SAW dulu ketawa tak pernah nampak gigi. Tapi zaman sekarang ni, orang memang nak tunjuk gigi--yalah, baru bikin. Ha! Ha! Jangan kecil hatilah, Nura gurau saja.
Sebenarnya, dah banyak kali Nura cakap--kita sebagai perempuan sering diperhatikan, terutamanya anak dara. Kadang-kala kita buat silap. Entah apa yang kelakar sangat sampai tak perasan gelak ketawa kita menyebabkan orang lain meluat. Terutamanya kalau anak-anak dara berjumpa dekat kenduri rumah saudara-mara ke, masa itulah macam-macam cerita keluar. Masa itu jugalah kita lupa diri. Orang-orang tua sibuk baca Yasin dalam rumah, kita yang duduk berkumpul ni sedap mengumpat orang--lepas tu ketawa kuat-kuat. Ish, malulah kalau lelaki nampak.
Ada pula yang ketawa dalam masjid. Seolah-olah tak hormat orang lain. Maaf cakaplah--biasanya budak-budak. Dan janganlah pula ketawa ketika azan berkumandang. Kan tak elok tu. Bagi pihak lelaki pula, tak salah kot kalau ketawa dekat restoran masa tengah layan bola tu. Tapi, lelaki ni kalau dah bersuka-ria dengan kawan-kawan, lupa pula pada isteri yang tunggu dekat rumah macam buah tak gugur. Oh! Rupa-rupanya dia dah berbini. Lupa pula! Masalahnya, dia lupa kerana dia ketawa. Ketawa penawar duka--ketawa juga penyebab lupa!
Tapi, janganlah sampai dalam hidup tak kenal erti ketawa. Jangan kata ketawa, nak senyum pun susah. Alah, senyum bukan kena bayar pun! Kalau macam tu, maknanya kamu ada masalah--segera jumpa doktor pakar!
Percaya tidak, orang yang suka senyum, wajah mereka susah nak berkedut. Jangan salah anggap ketawa dengan senyum eh? Kalau ketawa macam orang tak waras, Nura rasa makin banyak kedut kamu sebab orang tengok pun meluat, nanti kegembiraan itu akan bertukar jadi kemarahan dan kemudian jadi masalah. Orang kata, kalau terlalu banyak ketawa, kita akan menangis esok hari. Betul, kan?

3G Boleh Diubah!

Salam...

Kenapa, bila dikaitkan dengan orang gemuk--mesti makan dengan lahapnya! Bukan semua orang gemuk begitu. Sudah berapa ramai Nura temui mereka yang berbadan besar, dan mereka bukannya pelahap dan gelojoh seperti yang ditonton dalam drama televisyen. Kadang-kala, nak buat cerita pun agak-agaklah--jangan sampai perkara tak logik yang dipertontonkan--contohnya cerita Cinta Kolesterol di mana Erra Fazira makan seekor ayam tanpa menggunakan tangan! Ada ke? Ha! Ha!
Cuma kaitan antara makanan dan lemak itu sudah sebati. Mungkin pemikiran orang kita yang kurang ambil tahu tentang banyak perkara. Tahu tak, sebenarnya ramai daripada kalangan kita yang berbadan gemuk kerana kuat tidur siang dan kurang aktiviti luar? Ada sesetengah orang, tak makan pun tak apa asalkan dapat tidur dari pagi membawa ke pagi. Maknanya, walaupun tiada makanan ataupun kalori yang masuk--tapi dia juga tak melakukan apa-apa aktiviti untuk membakar kalori. Itu penyebab lemak semakin bertambah dari sehari ke sehari.
Ada juga yang berusaha untuk menurunkan berat badan dengan mengurangkan makanan yang diambil--atau tak makan langsung, tapi masih tak langsing juga. Kenapa tu? Yalah, kalau tak makan, tapi tak mahu bersenam--sama juga. Tak dapat membantu pun.
Ada juga yang bersenam bukan main aktif, tapi makan pun aktif juga. Tapi, sekurang-kurangnya berat badan boleh stabil kalau begitu. Lagi satu, ubat-ubat kurus memang laris di pasaran dewasa ini. Bukan setakat itu, alat-alat senaman pun laris juga--semua kerana rancangan Biggest Loser yang memberi semangat pada mereka. Tapi, kalau setakat beli saja, tapi tak gunakan--ingat boleh kurus ke? Nura sendiri ada pengalaman--beli basikal senaman, lepas tu buat sidai tuala. He! He! Beli ubat kurus--tapi sekejap makan, sekejap tidak. Senaman pun langsung tak ada. Fikir-fikir balik, buat rugi duit saja.
Tapi, dalam Biggest Loser tu adalah info sikit, sebenarnya keluar duit untuk sihat adalah lebih berbaloi daripada keluar duit untuk mengubati. Yalah, kalau tak jaga kesihatan--sikit-sikit sakit. Kalau dah asyik berulang-alik ke hospital, tak banyak duit habis? Jadi, lebih baik Nura keluar duit lebih beli makanan yang sihat-sihat, berbanding kemudian hari terpaksa keluar duit yang lebih banyak lagi untuk mengubati penyakit kronik. Lepas tu terpaksa pula menanggung sakit!
Nampaknya rakyat Malaysia memang terkenal dengan 3G, (gemuk, gendut, gempal)... ada baiknya, kita berubah dari sekarang. Siapa kata Malaysian tak boleh jadi lebih sihat?
Nak juga dengar orang luar kata, "Wah! Orang Malaysia langsing-langsing belaka!" Ha! Ha!

Rabu, 14 April 2010

Kebersihan Diri

Salam...

Insan pengotor--ada di mana-mana. Biasanya ia dikaitkan dengan kaum lelaki, tapi jangan silap--ada juga perempuan yang lupakan kebersihan kerana lebih pentingkan perkara lain.
Maksud pengotor di sini ialah seseorang yang tidak langsung menjaga dan menghiraukan kebersihan yang sememangnya dianggap remeh. Contohnya--kuku panjang dan hitam, rambut kusut-masai, janggut dan misai tak bercukur, baju tak dibasuh dan macam-macam lagilah. Jangan sangka lelaki saja begitu--Nura pernah ternampak seorang gadis yang cantik, seksi dan sangat bergaya, tapi punya bau badan yang agak--menyengat. Sama ada dia tak perasan akan bau badannya itu, atau dia pura-pura tak tahu. Tak boleh cakap juga--ada orang yang dah terbiasa dengan bau badan sendiri, jadi dia anggap itu adalah perkara biasa.
Bagi yang tak reti-reti nak ketip kuku tu, baiklah fikir baik-baik. Bila kita memasak untuk orang, kemudian orang tengok jari-jemari kita, memang jangan harap mereka nak sentuh makanan tu. "Mungkin ada bakteria!"-dialog cerita Tarzan versi melayu. Alasan mereka ialah--tak jumpa sepit kuku, entah letak dekat mana agaknya! Alah, benda tu kan murah. Beli 2-3 lepas tu letak merata-rata dalam rumah, mesti jumpa punya. Ketip pula pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat--pasti dapat pahala sunat!
Kadang-kala ada antara kita yang tak suka berus gigi. Okey Bang, kita ni berhubung dengan ramai orang. Segala keburukan kita orang boleh nampak tahu? Lainlah kalau kamu cuti seminggu, duduk dalam rumah seorang-seorang, memang tak ada siapa pun peduli. Tapi, kita pun tak naklah hilang gigi sebelum tua menjengah. Kalau gigi kita gugur sebab jatuh ke, kena tumbuk ke, kemalangan ke, kira biasalah tu. Tapi kalau gugur kerana malas nak berus--itu memang den tak boleh nak menolong. Senyuman yang cantik bermula daripada gigi! Tahu tak, harga gigi palsu dah mahal sekarang ni!
Sebenarnya, Nura ni pun bukannya pembersih sangat, tapi kita kena pandailah jaga diri sendiri. Lagilah anak dara selalu jadi perhatian orang--sebab itu luar dalam kena jaga. Paling penting, jaga penampilan diri. Orang pun tak segan nak kawan dengan kita. Siapa pun tak nak berdamping dengan insan yang--kurang bersih.
Saja nak cakap ni--lelaki suka sangat bela misai dan janggut, tapi tak nak cukur elok-elok. Err... entahlah!

Masak

Salam...

Perempuan harus pandai memasak! Kenapa--sebab setinggi mana pun kita belajar--sehebat mana pun kerjaya kita--kita ada satu tanggungjawab utama iaitu menjaga keluarga termasuklah menyediakan makanan untuk keluarga. Tak berbunga-bunga ke hati kalau suami dan anak-anak puji masakan kita? Tapi kalau masak tak sedap pun, mereka tak banyak komen--makan dan senyap tanpa kritik! (Sebenarnya lelaki memang pengkritik yang hebat!)
Tengok saja drama melayu sekarang, kalau pun suaminya tak kisah--asalkan isterinya cantik, tapi mak mertua amat-amatlah peduli. Siapa yang mahu menantu yang tak tahu buat kerja rumah? Semua ibu-ibu mahukan sesuatu yang terbaik untuk anak mereka. Nura respek betul dengan sebilangan wanita berkerjaya, tetapi hebat di dapur. Cakap saja nak makan apa, semua boleh disediakan. Lagilah Cik abang bertambah sayang. Tips untuk menambat hati keluarga(lebih-lebih lagi suami) ialah menyediakan masakan dengan air tangan sendiri. Kita pun tahu masakan itu sedap, bersih dan berkhasiat.
Bukanlah Nura kata masakan di kedai itu tak bersih (jangan marah ya tokey!)--tapi sekurang-kurangnya kita memasak dengan bahan yang kita tahu datang dari mana. Bersih dan halal. Dan kenapa kadang-kala masakan kita tak sedap? Sebab kita tak lakukannya dengan ikhlas. Kalau kita memasak dengan hati yang panas, ego, rasa dibuli oleh suami--memanglah tak sedap. Malahan apa saja yang dibuat pasti takkan menjadi. Tapi, kalau kita masak dengan hati yang senang, gembira, ikhlas nak beri keluarga makan--memang pasti kedai mamak depan punya kari dhal pun kalah!
Sebenarnya, memasak ini senang saja. Ayah Nura ada mengajar--tak payah sukat! Kalau nak masak, tak payahlah ikut bulat-bulat apa yang buku tu tulis. Belum tentu apa yang kita tiru tu menjadi. Lagi satu, akak Nura pesan, kalau kita nak masak--kita jangan takut. Sebab, kita yang buat dia--dan kita mampu buat dia jadi sedap, atau sebaliknya!
Kelakar jugalah kalau Sang suami nak menolong di dapur. Itu lagi baik sebab hubungan kita boleh jadi lebih mesra lagi. Kita pun boleh mengajar suami memasak--yalah kot esok lusa dia terpaksa buat sebab kita tengah berpantang tak boleh buat kerja sangat. Nak juga merasa air tangan suami, ya tak?
Apa pun, sebagai perempuan, kita kena tahu memasak--walaupun tahu yang asas saja. Kalau tak tahu--belajar daripada yang arif. Buku resipi pun dah berlambak jual di pasaran. Yang penting usaha. Suami pun janganlah nak mengejek isteri yang baru nak mula belajar. Kasihan dia. Berilah semangat sikit. Dia belajar untuk kamu juga!

Selasa, 13 April 2010

Pelajar & Telefon Bimbit

Salam...

Pelik bila setiap seorang daripada kita tak punya telefon bimbit. Sekarang ni, nak kata trend--tak juga. Mungkin itu satu keperluan. Tapi, bayangkan kalau budak 9-10 tahun pun boleh pakai 3G--habislah! Kita yang bergaji ni pun fikir banyak kali untuk beli telefon mahal.
Punca yang dapat kita lihat sekarang ni ialah harga. Harga telefon dah menjunam--tak macam dulu-dulu, kalau tak ada RM 500-RM600--jangan beranganlah. Sekarang ni, RM 99 pun boleh dapat. Peduli apa kalau murah atau tak banyak fungsi, yang penting boleh guna. Tapi, ibu bapa sekarang ni pun menggalakkan anak-anak pakai telefon. Kononnya senang kalau pergi ke mana-mana--boleh beritahu. Tapi, sekolah memang tak benarkan, takut kena curi. Bila dah hilang, ibu bapa salahkan pihak sekolah juga. Sudah banyak kali Nura dengar--pihak sekolah kena ganti bila ibu bapa dah mengamuk. Nak cakap apa lagi?
Lebih menakutkan kalau telefon budak-budak tu canggih, ada fungsi untuk gambar dan video. Ingat apa? Budak-budak sekarang ni pandai-pandai belaka. Sebab itulah, banyak perkara tak senonoh berlaku dikalangan pelajar. Entah berapa banyak gambar-gambar atau video yang tak sepatutnya disimpan dalam telefon tanpa pengetahuan ibu bapa. Tahulah mereka nak sorok!
Tapi, hakikatnya telefon bimbit bukanlah suatu benda yang mendatangkan keburukan kalau mereka menggunakannya dengan baik. Yalah, bagi ibu bapa yang risaukan anak mereka pergi entah ke mana--sekurang-kurangnya boleh hubungi bila-bila masa. Manalah tahu, rindu pada anak yang tak reti nak balik ke--boleh telefon juga.
Harap-haraplah, telefon bimbit bukanlah satu keburukan yang akan merosakkan masa depan anak-anak kita. Lebih baik fikir dulu--mengapa mereka perlu ada telefon bimbit...

Suami Isteri

Salam...

Sebagai seorang perempuan, Nura amat memahami perasaan seorang isteri yang bergelar suri rumah. Ramai orang yang menganggap tugas sebagai suri rumah ini mudah-- menjaga suami dan anak-anak, membasuh baju, menguruskan keperluan isi rumah, menyediakan makanan, tetapi tanggapan itu tidaklah berapa tepat. Tugas seorang isteri dan ibu adalah lebih daripada itu!
Oleh itu, apabila isteri kamu kata yang dia sedang kepenatan--maka dia tidak menipu! Membuat kerja di rumah adalah lebih letih berbanding bekerja di luar. Mengapa? Kerana bekerja dengan majikan, kamu akan diberi cuti beberapa hari dalam setahun. Tapi, sebagai suri rumah--tiada rehat hingga ke penghujungnya! Terjaga saja pada waktu subuh, hingga terlelap pada waktu malam--tiada rehat langsung.
Tak dinafikan--suami juga mempunyai tugas yang berat iaitu mencari rezeki bagi keluarga. Dengarnya seperti mudah--tetapi tugasnya berat apatah lagi jika gaji si suami bergantung pada seberapa banyak kerja yang dilakukan. Mungkin beban itu dapat diringankan sekiranya isteri juga berusaha mencari rezeki untuk keluarga.
Maknanya, peranan kedua-dua pihak adalah penting. Bukan Nura kata harus kasihan pada kaum isteri saja--sang suami pun perlu dikasihani. Yang isteri pula, janganlah ditunjukkan muka yang masam dan melepaskan geram kepada suami apabila suami baru pulang dari bekerja. Lebih teruk lagi bila suami pulang--isteri berada dalam keadaan yang sangat--kurang bersih, serabai, atau berbau bawang. Yalah, suami berkobar-kobar balik nak jumpa isteri--rupanya isterinya berkeadaan selekeh sebegitu rupa.
Kita semua pun tak sempurna--tapi bagi kaum wanita yang begitu sayangkan suami tu--cubalah lakukan sesuatu untuk menambat hati suami. Sekurang-kurangnya, kamu perlu mengekalkan kecantikan sebagaimana ketka kamu berdua bercinta dulu. Tapi, kaum lelaki pun tak bolehlah mengharapkan isterinya berpinggang ramping lagi sedangkan anak sudah setengah dozen. Susah tu...

Isnin, 12 April 2010

Wanita Dan Mekap

Salam...

Apa sebab wanita bersolek? Sebab nak nampak cantik--sebab nak tutup kecacatan kulit--sebab nak sembunyikan parut jerawat. Ya! Semua wanita pun tak boleh berenggang dengan mekap. Paling kurang pun, sebatang gincu mesti wajib ada dalam beg tangan. Kalau tidak, ibarat hancurlah kecantikan kamu (istilah bagi sesetengah wanita).
Bagi yang berkulit sensitif, susah juga nak jaga rupa. Lebih-lebih lagi bila kulit berminyak, terkena habuk, asap, memang habislah. Sapu bedak setebal seinci pun tak boleh nak tutup kulit muka yang tercela tu. Malangnya, celaan itu juga berpunca daripada alat-alat solek.
Bukan nak kata apa, alat-alat solek zaman sekarang ni mahal betul. Nak dapatkan gincu yang tak seberapa warnanya pun perlu keluar duit berpuluh-puluh. Apa kata kalau kita cuba petua orang dulu-dulu--sapu madu dekat bibir sebelum tidur malam-bibir kamu pasti cantik dengan warna merah semulajadi. Tapi, Nura takkan buat benda-benda tu. Sebabnya, Nura takut kalau-kalau masa kita tengah sedap tidur, kot dihurung semut ke, digigit lipas ke, menaya saja. Madukan manis...
Macam mana pun, wanita dan mekap tak boleh dipisahkan. Walaupun Nura sendiri tak suka bermekap--secalit bedak mesti kena sapu. Entah kenapa agaknya. Tabiat orang perempuan agaknya.
Tapi, Nura ada terbaca artikel mengenai lelaki yang sebenarnya tak berapa suka wanita bermekap tebal. Menghilangkan keaslian semulajadi-katanya. Lagipun, jika mekap itu sendiri tak kena dengan wajah kita, nanti nampak macam topeng. Sebab itu, janganlah pandai-pandai nak cuba kalau tak tahu bersolek. Kena ketawa dengan lelaki aja. Lelaki ini dikenali sebagai seorang insan yang suka meneliti. Kalau dia boleh nampak kecantikan kita,dia juga boleh nampak keburukan kita--walau sekecil kuman sekalipun. Hati-hatilah ya...
Entah bagaimana keadaan semua wanita dalam dunia ni sekiranya alat solek tidak dicipta. Bagi Nura--Nura lebih suka bersederhana. Kadang-kala berbedak pun malas. Pernah juga Nura keluar membeli-belah tanpa secalit mekap sekalipun--tak ada sesiapa pun yang menegur? Maknanya, mekap ke, tak mekap ke--sama saja. Mungkin kalau kita tahu jaga kulit wajah dengan baik, tak bersolek pun kita tetap nampak cantik...
Tapi, jangan fikir kita bersolek hanya untuk lelaki tengok, okey? Dan tak payahlah berlebih-lebih sangat. Bagi Nura--wanita tetap cantik dengan penampilan semulajadi...

Khamis, 8 April 2010

Kesihatan

Salam...

Antara kesihatan dan kekayaan, mana satu yang kamu akan pilih? Kedua-duanya penting, kedua-duanya perlu. Kalau kita kaya, tetapi menanggung sakit, kita takkan boleh membeli kesihatan dengan duit yang berjuta-juta tu. Dan, kalau kita hidup sederhana, apatah lagi miskin, tetapi sihat tubuh badan, kita masih berpeluang untuk cari rezeki. Cuma iyalah, bukan senang nak jadi kaya dalam sekelip mata...
Orang sekarang ni, sanggup berhabis duit beli pil vitamin, makanan tambahan, atau makanan kesihatan, tapi adakah itu cukup? Tak semestinya. Orang-orang kampung-selamba saja makan pucuk-pucuk daun yang dipetik tepi sungai, sihat juga. Tak keluar duit pun. Tapi hutan sekarang pun dah tak selamat lagi--terutamanya sungai yang dah tercemar--beracun!
Agaknya, orang-orang melayu kita ni jarang bersenam. Macam Nura juga, malas, banyak kerja, sibuk--nak rehat. Iyalah, kerja sekarang ni duduk dalam pejabat saja. Ada pendingin udara lagi. Lif pun tersedia. Buat apa nak naik tangga... Ha! Ha!
Masakan Malaysia ni pun penuh dengan lemak, santan, kolestrol--nasi lemak, teh tarik, nasi briyani, roti canai, semuanya berlemak--tapi sedap. Itulah yang orang pilih! Iyalah, siapa nak makan roti kosong, epal hijau dengan air masak setiap hari. Bosan--melainkan kita betul-betul nak turunkan berat badan. Tapi hakikatnya itulah yang mendorong kita untuk hidup dalam keadaan kesihatan yang stabil.
Yang penting, kita kena jaga tekanan darah, tahap kolestrol juga tahap gula dalam darah. Sebab itulah penyakit berantai yang membawa kepada strok. Takutkan? Bukan tak boleh minum air manis--tapi lepas minum air gas tu, bilaslah tekak dengan air suam banyak-banyak.
Bak kata pepatah, sarapan pagi seperti Raja, makan tengahari seperti Putera Raja, makan malam seperti papa kedana. Pepatah siapa entah, tapi bagus juga tu. Selain tu jimat duit juga. Tak payah belanja lebih untuk makan malam.
Senaman pun jangan lupa. tak payah pergi Gim pun tak apa. Itu pergi potong pokok depan rumah, tak pun siram pokok petang-petang, tak pun main kejar-kejar dengan anak-anak ke, senaman juga tu...

Jodoh

Salam

Orang kata, kalau kita baik maka jodoh kita dari kalangan orang yang baik juga. Tapi, kalau kita ni jahat, macam tu juga jodoh yang kita dapat. Jadi, jangan salahkan orang tua sekiranya satu hari nanti rumahtangga berpecah-belah, retak menanti belah atau dah tak sehaluan lagi...
Apa yang Nura lihat sekarang, pasangan bercinta (terutamanya budak-budak muda) memang punya keserasian yang amat tinggi. Sebab apa, bila Si Jejaka buat silap, Si dara pula membela. Bukan nak menasihati kekasih hati dia tu. Maka, terbentuklah satu sikap 'kurang ajar' yang akan mereka lahirkan bersama anak-anak mereka nanti. Kerana itulah, kanak-kanak sekarang langsung tak boleh ditegur oleh orang tua, atau guru-guru sendiri-kerana ibu bapa mereka dah latih begitu!
Lebih menarik lagi, bila guru menjentik sikit, siaplah ibubapa datang menyerang di sekolah. Bukan salah guru nak mengajar, tapi sikap ibubapa sendiri membuatkan anak-anak semakin manja dan tak boleh disentuh. Tapi bagi guru-guru sendiri, janganlah dihukum hingga lebam-birat, hingga hujung nyawa. Susah nak jawab tu--lari dari topik sikit!
Memang gadis zaman kini tak suka dijodohkan oleh orang tua. Nura akui, jika dah tak suka, tetap tak suka. Walau sekaya mana, walau sekacak mana, tetap tak dapat membuka pintu hati si gadis tersebut. Sebaliknya, ada juga lelaki yang menentang pilihan ibubapa. Kadang-kala, mereka kahwin pun semata-mata nak puaskan hati orang tua. Ada dua kemungkinan-mereka berpisah kemudian hari, atau jodoh mereka ke akhir hayat hingga tak dapat dipisahkan lagi. Hm... inilah dunia...
Cuma, kalau boleh kita berkahwin bukan kerana keseronokan atau nafsu semata-mata. Sepatutnya kita berkahwin untuk mencari kehidupan baru. Bagaimana kita memikul tanggungjawab... Bagaimana kita membimbing keluarga... Mahukan pembela dan zuriat sendiri... Dan tentunya, kita mahu disayangi dan menyayangi. Susah juga nak cakap sebab kadang-kala keserasian tu datang lama selepas berkahwin. Tengoklah bagaimana kita mencorak rumahtangga...
Bagi Nura, apa yang penting ialah kita sanggup bersusah-senang bersama. Jangan bila senang saja bersama--bila susah abang seoranglah yang tanggung. Kesian Cik Abang yang susah-payah mencari rezeki. Hai... Nura cakap macamlah dah bersuami... Harap-harap Nura dijodohkan dengan suami yang betul-betul bertanggungjawab, memahami... Dan suami yang boleh membela Nura dikala Nura dianiaya... Amin...

Rabu, 7 April 2010

Buang Bayi...

Salam...

Tanpa kita sedari, semakin ramai 'manusia' yang membuang bayi merata-rata. Tahu buat tapi tak mahu tanggung. Sudahlah buat maksiat, dibunuh pula bayi yang tak berdosa itu. Maaf cakap, tapi kebanyakannya perbuatan orang Islam sendiri. Nampaknya gadis-gadis muda sekarang mudah ditipu. Yang sang Jejaka pula menghilangkan diri dan membiarkan gadis itu menanggung beban seorang diri.
Percaya tak, wanita yang nak bersalin di hospital, merana berhari-hari, sebab bayi tak boleh keluarlah, sebab bayi songsanglah... Tapi yang peliknya, anak buangan ni macam senang saja dilahirkan. Dalam tandas pun boleh beranak. Agaknya dah buat salah, takutlah.
Tak terfikir ke kita, bahawasanya pasangan berkahwin yang betul-betul mahukan anak sanggup lakukan apa saja. Berhabis duit, buat rawatan sana-sini, tapi mungkin tiada rezeki. Sedangkan orang-orang lain, macam senang saja buat anak. Kasihanlah pada bayi yang tak berdosa. Dia tak tahu apa-apa. Malahan dia tak tahu pun yang dia bakal dilahirkan sebegitu rupa. Ingat kalau diletakkan dekat masjid, atau rumah-rumah orang, bayi tu akan selamat ke? Mereka mungkin meninggal kesejukan, atau yang lebih mengerikan, dimakan binatang liar. Fikirlah, zuriat kamu tu. Sayangnya anugerah Allah kamu lakukan begitu. Tapi, biarlah apa yang Allah SWT anugerahkan itu dari sumber yang halal.
Nampaknya perkara ini dah jadi perkara biasa bagi manusia sekarang. Buat maksiat, beranak-buang! Gadis sekarang pun janganlah lurus sangat. Kalau lelaki menjanjikan syurga sekalipun, selagi kamu belum sah jadi suami isteri, jangan serahkan mahkota kamu tu. Ingat dia nak kahwin dengan kamu? Bila dia dah dapat apa yang dia nak, dia CABUT LARI. Semua lelaki akan cakap, 'aku mahu isteri yang baik, bukannya perempuan seperti kamu'... sedangkan dialah yang sebenarnya merosakkan kamu. Lelaki yang BERSALAH sering mencari alasan! Tolonglah jangan gadaikan maruah semata-mata kerana cinta. Kalau sayang-KAHWIN!
Kita ni pun bukannya pandai sangat nak menasihati orang. Tapi sebagai perempuan, Nura sangat kecewa dengan sikap gadis-gadis yang lebih sayangkan teman lelaki daripada maruah diri. Ada baiknya fikir dulu sebelum buat. Walau macam manapun, Nura lebih suka cara orang dulu-dulu. Bercinta selepas kahwin. Maka itu terhindar dari maksiat. Hidup pun lebih selamat. Nak buat apa pun tiada yang melarang... Kan bagus macam tu...

Kelebihan Dan Kekurangan

Salam...

Setiap manusia yang dicipta Allah SWT, ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kelebihan itu satu ganjaran, sebaliknya kekurangan itu suatu dugaan. Yang mana diuji dengan kekurangan, tak semestinya dia akan hidup susah selamanya. Tentu Allah SWT ada menyediakan sesuatu yang baik untuknya kelak.
Bagi insan seperti Nura, yang hidup dengan penuh dugaan, Nura tidak pernah merungut, apatah lagi memarahi ketentuan Allah SWT. Nura redha. Kalau kita rasa kita sakit, mungkin ada orang lain yang sakitnya lebih teruk daripada kita. Nura faham perasaan mereka yang berpenyakit ini-sengsara, menderita, apatah lagi jika penyakit itu sendiri menjadi lawak jenaka insan tak berperikemanusiaan, dan ia sering dijadikan bahan ketawa bagi mereka yang sempurna.
Apa yang Nura fikirkan di sini ialah, patutkah kamu sebagai insan yang sempurna menghina kami, insan yang kekurangan? Allah SWT menjadikan kamu sempurna supaya kamu bersyukur dan mungkin kamu berdaya untuk membantu orang lain sebaliknya kamu mempergunakan kesempurnaan kamu untuk memperkotak-katikkan pemberian Allah SWT. Jadi, kamu mahu kami melawan kuasa Allah? Atau kamu lupa kesempurnaan yang Allah SWT beri itu hanya sementara. Bila-bila masa Dia akan menarik balik. Terutamanya jika kamu bersikap angkuh dan sombong.
Nura hairan dengan sebilangan manusia yang tidak langsung memikirkan perasaan orang lain ketika berbicara. Kata-kata yang dikeluarkannya menyakitkan hati hingga akhirnya menimbulkan dendam terhadap insan tersebut. Tak siapa suka berdendam, tapi tak semua juga suka memaafkan.
Akhir kata, janganlah berlagak sombong dengan kesempurnaan yang Allah SWT beri itu. Semua itu cuma pinjaman. Hari ini Dia beri kesihatan, esok lusa diuji kamu dengan kesakitan yang amat. Mungkin sebilangan orang tak rasa, apa yang kami rasa. Tapi, Allah SWT itu Maha Adil. Kekayaan hari ini tak bermakna kamu tak boleh jatuh miskin esok hari. Kesihatan hari ini bukan bererti kamu tak boleh jatuh sakit esok hari. Kesempurnaan kamu hari ini tidak semestinya menjanjikan kebaikan untuk kamu kemudian hari. Percayalah, Allah SWT itu Maha Melihat...

Selasa, 6 April 2010

Sedekah

Salam...

Sebenarnya, ramai yang ambil ringan dengan perkara yang dipuji Allah SWT iaitu bersedekah. Bukanlah rugi pun jika seringgit dihulurkan. Apatah lagi jika bersedekah di masjid-masjid, rumah anak yatim atau rumah orang tua-tua.
Mungkin ada pihak yang berfikir, 'kalau aku bagi seringgit pun, mereka bukan boleh buat apa dengan duit itu'. Ya! Memang tepat. Tapi, jika kamu beri seringgit, dan ada beribu lagi orang seperti kamu, tidakkah ia menjadi banyak dan boleh digunakan untuk kebajikan orang yang memerlukan. Lagipun, alah seringgit--tak ada ertinya bagi kamu. Tapi amat bererti bagi mereka yang lainnya.
Banyak juga yang boleh dilakukan untuk bersedekah... Kamu boleh beri duit-jika kamu ada. Jika tak ada duit, beri makanan-jika kamu ada lebih. Jika tak ada juga, beri barang-barang yang masih elok dan tak lagi digunakan. Jika tak ada juga, sedekahkan 'tenaga' kamu untuk melakukan kerja-kerja amal. Tak susah, kan?
Dan kita sebenarnya tak boleh mengherdik atau memarahi mereka yang meminta-minta. Kalau tak nak beri, diamkan saja. Yang Si peminta sedekah ini pun satu. Kadang-kala, mereka mampu bekerja untuk mencari rezeki. Mereka ada tenaga dan kekuatan. Tapi dik kerana terlalu ghairah mencari rezeki begitu, maka itulah yang mereka lakukan. Ada yang menggunakan alasan sebagai derma bina masjid, sebaliknya duit itu digunakan untuk sara hidup. Kan ke tak elok untuk menipu. Nura faham kenapa sebilangan orang begitu marah dengan golongan sebegini. Diminta sekali, kita beri. Dua kali kita beri lagi. Masuk tiga kali, kita dah jadi was-was. Betul ke dia minta derma masjid? Kalau begitu kenapa asyik ke rumah kami? Seminggu 3-4 kali pula tu. Itu yang syak wasangka tu.
Walaupun begitu, Nura lebih suka bersedekah berbentuk makanan yang dimasak sendiri. Bak kata ayah Nura, sudahlah kita melakukan kebajikan, malahan kita bersusah-payah melakukannya. Dan adalah lebih baik jika kita bersedekah kepada orang-orang yang sememangnya memerlukan. Lebih-lebih lagi jika kita tahu mereka memang hidup susah. Janganlah bimbang, Allah SWT akan sentiasa beri rezeki pada kita. Tak rugi pun kita menderma. Esok-lusa rezeki itu akan datang, malah dalam keadaan yang lebih baik. Manalah tahu, hari ini kamu tolong orang, suatu hari bila kamu susah, ada orang yang akan tolong kamu.

Zaman Duit!

Salam...

Zaman sekarang ni, mana ada benda yang murah. Selangkah bergerak pun perlu keluar duit. Nak pergi tandas pun perlu bayar 30 sen. Bagi yang berada tu, mungkin bukan masalah bagi mereka, tapi golongan sederhana dan berpendapatan rendah...mungkin ada sedikit masalah jika tak pandai menguruskan kewangan.
Tak dinafikan, orang sekarang ni (terutamanya PEREMPUAN) suka akan barang berjenama, tapi tak mampu nak beli. Kalau yang boleh bersabar tu, mungkin simpan duit gaji sikit-sikit, cukup duit belilah. Tapi yang kurang mampu, tapi nak beli juga, susahlah hidup. Jadi, saya rasa mungkin ada tips sikit.
Katakan kamu memang minat betul dengan beg tangan ni, nak beli tak mampu. Harganya RM 200. Cuba bayangkan kalau kita bersabar dan tunggu hingga 'Mega Sale', diskaun hingga 50 peratus. Kan, dapat juga beli barang tu dengan harga yang jauh lebih murah--RM 100 sahaja. Bagi golongan lelaki yang suka beli kemeja tu, takkanlah nak habiskan RM 200 untuk sehelai saja? Sepatutnya, kamu boleh mendapatkan lebih daripada 2 helai jika kemeja yang kamu sukai itu dijual dengan harga diskaun 50-70 peratus. Tak untung begitu?
Siapa kata hanya golongan berada saja boleh bergaya sakan, kita juga boleh! Tak semestinya orang memandang kamu kerana barangan berjenama kamu tu. Kata orang, kalau kita ni sederhana, pakai barangan berjenama pun orang ingat itu barangan tiruan. Sedangkan kalau kita sediakala kaya, pakai barangan Chow Kit pun orang fikir itu barang original. Sebenarnya, ia lebih kepada pengaruh. Tak ada gunanya berhabis duit untuk mendapat pujian orang. Esok lusa kita hidup susah, ada mereka nak bantu?
Sekarang ini pun, orang-orang kaya sendiri sudah mula pandai berjimat. Tunggu jualan murah, baru mereka borong habis. Lagipun, banyak barangan yang dijual secara terus atau melalui internet, tanpa jenama tapi begitu cantik dipandang. Harga pun berpatutan. Tapi lebih elok kalau barangan itu tahan lama. Iyalah, mentang-mentang harganya murah, pakai sekali dua dah koyak. Siapa pun tak mahu membazir begitu. Walau macam mana pun, pilihan di tangan sendiri. Bak kata orang, kalau kita cantik, pakai baju RM 5 pun masih cantik. Tapi kalau kita ni buruk rupa, pakai baju jenama Versace pun kamu belum tentu kelihatan cantik. Kalau mereka memuji juga, maknanya mereka tipu!
Fikir-fikirkanlah... zaman sekarang ni zaman wang. Lebih baik banyak duit dalam tangan, tapi bergaya sederhana, daripada bergaya bukan main, tapi poket kosong. Buat apa? Lama-lama orang pun takut nak berkawan dengan kamu--takut kamu pinjam duit mereka... Betul, kan?